• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SAYA TIDAK SUKA MENGGEDIK KERANA SAYA MASIH BARU DALAM BIDANG INI


    PERTAMA kali bersua muka dengan gadis cantik bernama Amaniena Baharun ini, ternyata ia mampu mempesonakan setiap mata yang memandang terutama golongan lelaki.

    Mana tidaknya, dengan imej berhijab yang ditampilkan, kejelitaan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu amat terserlah, lagi-lagi apabila menatap sepasang matanya yang menawan.

    Sedang membina namanya menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz yang disiarkan di slot Akasia TV3 ketika ini, mesra disapa sebagai Niena, dia mengakui masih terlalu mentah untuk berbicara panjang tentang dunia seni yang telah diceburi setahun lalu.

    “Saya terlalu baharu dalam bidang ini. Tidak banyak cerita hendak dikongsi kepada umum. Buat masa sekarang, biarlah penonton yang melihat dahulu hasil lakonan saya dan membuat penilaian tersendiri terhadap bakat yang ditonjolkan,” katanya memulakan perbualan ketika hadir menjayakan sesi fotografi bersama HITS di Studio Utusan.

    Ditanya terus tentang cakap-cakap netizen di laman sosial yang mendakwa Niena seorang yang gedik, bertentangan dengan perwatakan wanita bertudung sepertinya, gadis itu sedikit pun tidak melatah.

    Ini kerana, ketika membaca skrip dan menjalani penggambaran, si manis berusia 23 tahun ini sudah menjangkakan bahawa watak Dr. Ariana Dahlia yang dibawanya akan mempengaruhi persepsi awal penonton terhadap keperibadiannya di luar tugasan pelakon.

    “Memang pun, saya sudah dapat agak. Karakter Dr. Ariana yang gedik dan ada saja yang tidak kena dalam siri tersebut serba sedikit adalah pengenalan terhadap diri saya yang bukan siapa-siapa. Jadi saya tidak salahkan penonton jika mereka menggambarkan peribadi saya juga sebegitu.

    “Sebagai pelakon baharu, saya sudah bersedia untuk menerima tanggapan umum yang membuat penilaian hanya berdasarkan watak ciptaan seorang pengarah mahupun penulis skrip. Hakikatnya, personaliti saya sangat berbeza berbanding Dr. Ariana yang menggilai Kapten Mukhriz,” katanya menafikan kritikan yang dilemparkan audiens terhadapnya.

    ‘Gantung’ buku demi seni
    Dalam pada itu, mengenali lebih dekat gadis lasak ini, kira-kira lebih setahun lalu dia pernah bergelar penuntut di Politeknik Merlimau, Melaka. Itu sebelum dia berhenti dan menyambung semula pengajian di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC), Bangi, Selangor dalam jurusan kejuruteraan mekanikal.

    Cita-citanya memang mahu menjadi jurutera, bagaimanapun hajat tersebut tidak kesampaian kerana matanya dikaburi wang ringgit setelah mula terlibat dalam bidang lakonan yang dimulakan menerusi sitkom Salam Pantai Timur.

    “Dulu, saya adalah salah seorang antara ribuan peminat sitkom popular berkenaan dan selalu menontonnya di TV1. Sehingga ada kemahuan untuk turut sama terbabit dalam produksinya, apatah lagi saya pun memang berasal dari Pantai Timur.

    “Selepas mengetahui pihak produksi sedang mencari bakat untuk membintangi sitkom itu, saya tidak melepaskan peluang menghadiri uji bakat. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya.

    “Jadi, selepas memegang duit hasil titik peluh sendiri, saya mula rasa seronok untuk bekerja. Pada masa sama, sukar untuk membahagikan masa antara pekerjaan dan pendidikan walaupun sebelum melibatkan diri dalam bidang ini. Saya melihatnya seperti mudah untuk dilakukan.

    “Maklumlah, dalam bidang ini ramai penuntut universiti yang jadi penyanyi atau pelakon, tetapi mereka masih boleh fokus terhadap pengajian. Akan tetapi apabila saya cuba menjadi seperti mereka, malangnya tidak berjaya,” cerita Niena mengimbas balik kesukaran yang dihadapinya.

    Justeru, gadis berbintang Aries itu memutuskan untuk menghentikan pengajian di KLIUC dan memberi tumpuan terhadap seni lakon. Walaupun menyedari ia berisiko besar memandangkan ketika itu Niena bukanlah siapa-siapa, langsung tidak dikenali, dia tawakal dan tekad berusaha bagi memastikan tawaran lakonan tidak putus supaya dapat menampung perbelanjaan sehari-hari.

    “Alhamdulillah, banyak uji bakat yang saya hadiri dan mendatangkan hasil. Selepas Salam Pantai Timur ditamatkan setelah bermusim-musim ia bersiaran, saya mulakan karier lakonan drama sebagai ekstra dan dari semasa ke semasa tawaran semakin bagus sehinggalah ke tahap hari ini.

    “Bukan mudah jadi pelakon terutama dalam membina kepercayaan penerbit mahupun pengarah terhadap mutu lakonan kita. Bakat menjadi modal untuk ke fasa seterusnya, yang lain hanyalah faktor sampingan termasuk paras rupa.

    “Banyak lagi yang perlu saya belajar dan perbaiki. Diharap mendapat sokongan semua pihak,” pintanya sambil menyebut nama Ainul Aishah, rakan pelakon yang banyak membantunya untuk sampai ke tahap sekarang.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan