• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    HAZIQ AF KESAL RADIO TAK MAINKAN LAGU SINGLENYA?


    AGAK lama tidak mendengar khabar berita tentang bekas peserta Akademi Fantasia (AF) musim keempat, Haziq Rosebi. Kali terakhir mungkin kisah perkahwinannya yang berlangsung pada September 2015.

    Kesempatan berjumpa dengan penyanyi berusia 28 tahun ini pada majlis sidang media Anugerah Lagu Johor dan berbuka puasa bersama artis-artis kelahiran Johor di Saloma Bistro, baru-baru ini memang tidak disia-siakan.

    Jika disingkap kembali perjalanan seni Haziq seawal penyertaannya dalam AF, tidak berlebihan andai mengatakan jika pemilik nama penuh Hazwan Haziq Rosebi ini lebih menonjol dengan rantaian lagu-lagu tradisional.

    Ujar Haziq, vokalnya juga tidak sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu berentak balada atau R & B justeru dia juga mengalami kesulitan bagi menghasilkan single terbaharu.

    “Lumrah sebagai seorang penyanyi bila aktif dalam lapangan seni memang ingin buat single baharu. Kalau nak terus berada dalam industri muzik memang kena ada produk.

    “Sebelum ini saya ada mengeluarkan dua buah single namun kurang mendapat sambutan.

    “Bukanlah nak cakap tak pulang modal ke apa, tetapi kita mengambil kira juga proses pembikinan lagu dengan harga pasaran ketika ini bukannya murah. Tapi dalam masa sama kita perlu juga ada single,” tuturnya.

    Tambah Haziq lagi, dia juga turut terkena tempias ‘dianaktirikan’ pihak stesen radio tempatan kerana kurang memutarkan lagu-lagunya disebabkan aliran muzik yang dibawa.

    “Kita tahu keadaan pasaran industri muzik kita ketika ini macam mana. Buat lagu mahal-mahal tapi kurang mendapat sokongan pihak stesen radio, itu yang buatkan saya dan rakan-rakan artis lain turut kecewalah.

    “Bukan semua tetapi sesetengah stesen radio sahaja yang menyokong lagu-lagu tradisional. Tapi kalau nak popular bukanlah dekat satu radio sahaja, semua tempat perlu diputarkan juga tapi disebabkan sikap memilih dan sukar beri sokongan buatkan lagu seperti itu kurang diterima,”ujarnya menyatakan pendirian.

    Ketika ditanya apakah senario yang berlaku terhadap dirinya itu menyebabkan dia berasa trauma untuk menghasilkan lebih banyak single pada masa akan datang, Haziq, bagaimanapun kini kurang keyakinan kerana gusar percubaan itu gagal sekali lagi.

    “Masalah saya bila single baharu dikeluarkan adakah pendengar akan mendengar? Sebab itulah saya tak berani nak keluarkan takut tak menjadi lebih-lebih lagi genre saya itu tradisional.

    “Mungkinlah lepas ini saya kena fikirkan untuk buat adunan semula lagu tradisional yang diselitkan sekali dengan unsur moden. Saya suka nyanyi lagu baharu tapi tidak diberi peluang ke arah itu.

    “Selain itu juga, tiap kali saya jayakan acara persembahan, pihak penganjur akan minta saya nyanyikan lagu-lagu lama seperti era zaman pop yeh yeh dan 70-an. Kadangkala bila saya selitkan lagu baharu, mereka menolak kerana kurang sesuai dengan penonton,” jelas Haziq yang mengaku lebih ramai peminat daripada golongan berumur berbanding yang seusia dengan dirinya.

    Disebabkan sebati dengan lagu tradisional yang kini menjadi ‘periuk nasi’nya sejak 2006, Haziq kini boleh berbangga dengan pencapaian yang diperoleh hasil titik peluh membuat persembahan.

    Disebabkan komitmen yang ditonjolkan itu juga membuatkan dirinya kini lebih statik dan tidak terlalu mengejar populariti.

    “Lagu tradisional ini pasarannya tak berapa besar sangat. Tapi alhamdulillah tiap minggu jadual nyanyian saya memang penuh. Golongan veteran suka dengan lagu begini dan mereka ada dana untuk anjurkan program dan majlis makan malam, dari situlah saya dapat sumber pendapatan.

    “Zaman saya dengan artis baharu yang ada ketika ini tak sama. Mungkin ketika ini mereka lebih popular di kaca televisyen disebabkan lagu atau lakonan. Untuk diri saya pula, mungkin saya statik tetapi tidak berada di atas dan tak pula di tangga ke bawah,” katanya lagi.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan