• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    KRU NAFI PERGUNAKAN CALIPH BUSKERS


    BARU-BARU ini timbul dakwaan mengatakan bahawa kumpulan Caliph Buskers kononnya menerima bayaran rendah seolah-olah tidak setimpal dengan bayaran yang sering diterima oleh rata-rata artis lain yang membuat persembahan nyanyian.

    Susulan isu tersebut, pihak KRU Music tampil membuat penjelasan sebenar mengenai dakwaan tersebut bagi mengelak daripada terus berlaku salah tanggapan pihak luar.

    Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Rizal Sahimy memberitahu, secara umumnya Caliph Buskers memang bergerak secara sendirian dan bukan diuruskan sepenuhnya oleh KRU Music memandangkan kontrak yang terjalin antara mereka hanyalah secara eksklusif bagi rakaman muzik sahaja.

    “Terdapat juga pelanggan yang menghubungi KRU Music untuk mendapatkan perkhidmatan Caliph Buskers. Jika berlaku sedemikian, KRU Music akan bertanya kepada mereka terlebih dulu tentang harga yang ditawarkan dan sebarang harga yang KRU Music bayar kepada Caliph Buskers adalah atas persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya.

    Justeru sepanjang menguruskan Caliph Buskers, menurut Rizal, bayaran persembahan yang diterima bagi setiap acara berbeza-beza mengikut persetujuan yang sudah diputuskan.

    Katanya, memandangkan mereka merupakan artis berkumpulan, jadi setiap individu akan dibahagi sama rata selepas ditolak caj pengurusan yang sudah termaktub.

    “Harga minimum adalah sekitar RM3,000 hingga RM10,000 (mengikut jumlah lagu). Kebanyakan persembahan Caliph Buskers adalah sekitar RM6,000 bagi setiap persembahan.

    “Bayaran sebanyak RM800 setiap seorang itu adalah separuh benar (half truth) apabila mereka mendapat bayaran sebanyak RM6,000 untuk membuat persembahan. Selepas tolak kos pengurusan, wang bagi Caliph Buskers dibahagi kepada lima dan setiap seorang akan menerima RM840,” katanya yang menafikan dakwaan pihaknya membayar rendah kepada band berkenaan.

    Selepas membuat persembahan di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-29 katanya, Caliph Buskers mencatatkan perkembangan dan penerimaan positif daripada aspek permintaan persembahan.

    “Pendapatan Caliph Buskers mencecah RM600,000 sepanjang tahun lalu.

    “Dalam jumlah tersebut, terdapat persembahan yang mereka uruskan sendiri. Ada juga acara yang pihak KRU Music uruskan bagi pihak mereka,” katanya sambil memberitahu pihaknya kini sedang dalam proses mempromosikan single terbaharu Caliph Buskers berjudul Kaulah Dia.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan