• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    AMYRA ROSLI DITUDUH TIDAK SENSITIF DENGAN WANITA ISLAM?


    PEMILIHAN Amyra Rosli sebagai wajah bagi satu jenama tudung nyata mencetuskan rasa kurang senang segelintir pihak yang merasakan pelakon itu tidak wajar diberi tanggungjawab berkenaan kerana bertentangan dengan personalitinya.

    Malah gadis berusia 24 tahun itu juga dituduh tidak sensitif dengan wanita Islam yang bertudung sebelum menyatakan persetujuan untuk kepada pihak terbabit.

    Namun dengan nada berhemah Amyra menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat itu adalah sebagai satu cara untuk menggalakkan lebih ramai wanita bertudung.

    Saya maklum yang perkara ini agak sensitif untuk dibincangkan secara terbuka. Dan saya sendiri telah berfikir banyak kali sebelum menerima tanggungjawab ini.

    Pada peringkat awal, saya menerima tawaran ini sebagai satu bisnes. Ini kerana tidak semua orang berpeluang untuk menerima tawaran seperti yang saya peroleh.

    Pada masa yang sama, tanggungjawab baharu ini juga memberi impak positif dalam diri saya sendiri. Maknanya saya perlu lebih pandai membawa diri.

    “Pasti satu masa nanti saya akan bertudung,” kata Amyra tentang tanggapan negatif berhubung pelantikannya sebagai wajah baharu jenama tudung berkenaan.

    Berkongsi cerita, Amyra memberitahu, dia sebenarnya mulai merasakan keselesaan bertudung sepanjang terlibat dalam penggambaran drama adaptasi novel Cik Bunga Dan Encik Sombong yang ditayangkan baru-baru ini.

    Sebagai pelakon yang membawakan watak wanita bertudung secara tidak langsung memudahkan urusan hariannya apabila tidak memikirkan soal penggayaan rambut.

    Justeru Amyra memberitahu, situasi itu juga yang membuatkan dia berasa teruja andai diberi peranan memakai tudung ketika sedang bekerja.

    Komitmen saya dengan jenama tudung berkenaan tidak lama. Cuma dalam tempoh tiga bulan saja. Tanggungjawab saya juga mudah iaitu cuma menggayakan tudung jenama berkenaan.

    “Kalau saya terlibat dengan penggambaran drama yang mengkehendaki saya bertudung, saya perlu memberi keutamaan kepada jenama berkenaan. Itu saja,” katanya lagi.

    Mengulas tentang pertikaian segelintir pihak masih tidak boleh menerima keputusan Amyra memperagakan produk bertudung, pemegang watak Khatijah dalam teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini ada pandangan tersendiri.

    Amyra berkata, dia juga seperti manusia biasa yang mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan dalam hidup.

    Bagaimanapun menurut Amyra, yang penting buatnya adalah perubahan tersebut dilakukan atas kesedaran sendiri tanpa paksaan sesiapa. Malah Amyra menegaskan, perubahan tersebut dapat diteruskan secara istiqamah dan berterusan.

    Tanggungjawab bertudung itu besar sebenarnya. Saya memerlukan masa untuk sebelum membuat keputusan untuk membuat perubahan tersebut.

    “Yang saya paling takuti andai perubahan itu terjadi separuh jalan atau disebabkan desakan orang.
    “Jika itu berlaku, lagi teruk saya dihentam. Sebab itu dalam soal ini, saya awal-awal lagi sudah bersedia untuk menerima segala kritikan,” tegasnya lagi.

    Terus cemerlang
    Berbicara tentang penjenamaan, Amyra memberitahu, dia bersyukur kerana rezekinya untuk mewakili produk kecantikan masih berterusan hingga ke hari ini.

    Menghargai setiap kepercayaan yang diberikan, Amyra berkata, dia juga mementingkan hubungan antara dua pihak untuk masa depan.

    Bertuah kerana dikawal sepenuhnya oleh ibu, Noor Zaridah Ahmad, Amyra memberitahu, wanita berkenaan yang bertanggungjawab menentukan haluan kerjanya.

    Mama yang menguruskan dan menentukan yang terbaik buat pembentukan jenama Amyra Rosli agar terus cemerlang.

    Sebagai orang yang berpengalaman, sudah semestinya saya akur. Apatah lagi kerjaya saya itu diuruskan oleh ibu sendiri.

    Kelebihannya apabila kami dapat bekerjasama. Selalunya keputusan terakhir sebelum bersetuju untuk terikat dengan projek baharu itu akan dibuat oleh Mama.

    “Mama lebih tahu yang terbaik buat anaknya,” katanya yang akan berlakon dalam drama Tersuka Tanpa Sengaja bersama-sama Amar Baharin, Hafreez Adam dan Emma Maembong tidak lama lagi.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan