• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    TUNANGNYA ORANG ARAB SAUDI


    Antara kerjanya dan rumahtangga mana satu yang harus didahulukan? Perkara ini bagaimanapun tidak pernah memberi tekanan kepada personaliti muda, Farazatul Balqish Maarif atau Balqish, 25.


    Pemenang tempat ketiga Dewi Remaja 2015 itu melebarkan sayapnya dalam dunia pengacaraan apabila diberi peluang mengendalikan segmen khas dalam program bual bicara popular, Primadona di Astro Prima.

    Balqish menjelaskan dia kini bergelar tunangan orang dan bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi tetapi dia dan tunangnya belum menetapkan tarikh untuk disatukan.

    Katanya, banyak perkara dan urusan dari sudut perundangan di Arab Saudi perlu diselesaikan terlebih dulu.

    “Tunang saya orang Arab Saudi dan undang-undang di negara itu tidak membenarkan rakyatnya bernikah dengan orang luar. Sekiranya mahu bernikah, banyak prosedur perundangan, jadi tunang saya sedang menguruskan perkara itu terlebih dulu,” katanya.

    Sebelum ini heboh cerita mengatakan tunang Balqish kerabat diraja negara yang kaya dengan minyak itu. Disebabkan perkara itu juga, dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai birokrasi sebelum pernikahan dapat dijalankan. Balqish menafikan perkara itu.

    Katanya, tunangnya rakyat biasa tapi tidak menafikan, dia mempunyai kerjaya dan pendapatan yang baik di sana.

    Dalam usaha mencari tempat bergelar pengacara, sekiranya selepas berkahwin nanti bakal suami meminta Balqish menetap bersamanya di Arab Saudi, dia akui perkara itu juga sudah dibincangkan.

    “Memang kalau ikutkan saya harus mengikut suami. Lagipun dalam situasi kerjaya pengacaraan mahupun lakonan tidak menentu, ada baiknya saya menetap di sana selepas bernikah. Kedudukan kerjaya dan pendapatan suami sudah cukup untuk menampung saya dan keluaga bakal dibina,” katanya.

    Begitupun kata gadis yang mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang psikologi ini, kalau boleh dia mahu mengejar cita-citanya menjadi pengacara disegani suatu hari nanti.

    “Biarlah kalau saya mengikut suami di sana nanti, apabila sesekali balik orang masih kenal. Saya bukan mahukan populariti tetapi sebaliknya mahu bakat dipandang dan diingati,” katanya.

    Bercerita lanjut mengenai kerjaya dalam bidang pengacaraan, kata Balqish, dia masih lagi berusaha mencari tempat untuk mengetengahkan bakatnya.

    Tidak dinafikan selepas pertandingan Dewi Remaja 2015, ramai orang mengenali saya. Tetapi dari sudut mengembangkan bakat masih lagi susah kerana persaingan sangat besar.

    “Bagi kebanyakan stesen televisyen tempatan pula, mereka mempunyai bakat baru dan muda yang mereka sendiri minati dan mahu diketengahkan,” katanya.

    Selepas pertandingan Dewi Remaja 2015 kata Balqish, dia akui sesama mereka juga turut bersaing dan peluang sudah tentu terbuka untuk rakannya Raisya yang bergelar juara.

    Ada juga peserta yang tidak menang turut mendapat peluang lebih berbanding mereka yang mempunyai tempat sewaktu pertandingan.

    “Saya sebagai rakan bangga dengan pencapaian yang mereka peroleh. Ini semua soal rezeki dan saya percaya rezeki saya belum lagi datang seperti mereka,” katanya.

    Disebabkan itu juga kata Balqish, dia tidak pernah bersikap memilih dalam mencari peluang untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan mahupun lakonan.

    Walaupun diberi tanggungjawab kecil untuk mengendalikan segmen khas dalam program Primadona, saya tidak kisah dan menjadikan ia sebagai platform untuk menonjolkan bakat.

    Pada saya, apa juga tawaran yang datang saya akan terima bagi membolehkan saya menimba ilmu dan pengalaman sebanyak mungkin.

    “Sebagai orang baru, saya tidak boleh bersikap memilih dan saya percaya kalau kita berusaha memberikan terbaik suatu hari pastinya bakat saya akan dilihat orang dan tawaran akan datang dengan sendiri,” katanya.

    1 ulasan: