• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    SASHA SAIDIN SAMBUT RAYA DI GOMBAK


    MENYAMBUT Hari Raya sebagai ibu tunggal tidak akan mencacatkan kemeriahan lebaran Sasha Saidin yang sudah empat tahun berhari raya tanpa suami di sisi.


    Sebaliknya pelakon dan penyanyi ini bersyukur kerana dapat meraikannya bersama-sama permata hati, Adam Aryasenna Notosoemarsono atau Arya, 6, selepas hak penjagaan anaknya itu berpihak kepadanya.

    “Syawal tahun ini cukup bermakna buat saya kerana perjuangan saya untuk mendapatkan hak penjagaan Arya tercapai.

    “Saya lebih bersyukur kerana saya yang menguruskannya secara sendirian saya tanpa menggunakan khidmat peguam.

    “Daripada proses mengisi borang permohonan, mempelajari terma undang-undang dan naik turun mahkamah, semua saya lakukannya sendiri,” kata Sasha.

    Mengakui peranan sebagai ibu dan bapa buat Arya itu bukan satu tugas yang mudah, bagaimanapun Sasha mengakui sudah bersedia untuk menghadapinya.

    Biarpun kadangkala terasa penat namun Sasha memberitahu, dia tidak akan berputus asa dalam soal kebajikan dan masa depan satu-satunya permata hatinya itu.

    Begitu juga dengan soal kewangan. Kata Sasha, seboleh-bolehnya dia akan memastikan kelengkapan dan kehendak Arya dipenuhi sebaik mungkin.

    “Dalam soal memikul tanggungjawab membesarkan Arya, saya tidak boleh mengeluh kerana dialah matlamat hidup saya sekarang.

    “Saya perlu mencari wang lebih demi untuk membesarkan Arya. Mungkin pada masa sekarang, keperluan dia tidak banyak.

    “Nanti apabila dia masuk sekolah dan besar nanti, sudah pasti dia ada banyak kehendak yang perlu saya penuhi.

    “Sebab itu, saya tidak boleh berputus asa mencari rezeki demi Arya. Semua peluang di depan mata yang boleh menjana wang, saya tidak akan terima,” katanya.

    Berkongsi cerita perjalanan hidupnya bergelar seorang ibu tunggal, Sasha mengakui dia berdepan dengan kesukaran untuk menyesuaikan diri pada peringkat awal.

    Bagaimanapun, lama kelamaan dia dapat membiasakan diri. Semua berkat tunjuk ajar daripada ibu, Siti Aishah Abdullah, 69, juga pernah mengalami kegagalan dalam rumah tangga sebanyak dua kali termasuk dengan bapanya, Mohamad Saidin Osman beberapa tahun lalu.

    “Ibu adalah penyuntik semangat saya untuk berdepan dengan kehidupan mendatang. Kesungguhan ibu melalui dugaan memberi inspirasi kepada saya untuk membesarkan Adam.

    “Apatah lagi pada keadaan sekarang ini, rezeki saya lebih terarah kepada dunia peragaan. Banyak tawaran yang mendatang sejak akhir-akhir ini yang membuatkan saya seronok.

    “Begitu juga dengan tawaran lakonan. Saya tidak akan memilih untuk menjayakan naskah. Asalkan ada skrip dan watak yang menarik, saya berlapang dada untuk menerimanya,” ujar pelakon drama bersiri Fajar Di Bukhara di TV1 ini.

    Pengganti
    SENGAJA mengusik Sasha tentang pengganti baharu untuk mengisi kekosongan hati selepas berpisah dengan bekas suami, Salyo Priyanto Nutosoemarsono tiga tahun lalu, wanita ini berkata, perkara itu bukan kepentingan malah dia mengakui fobia dengan keruntuhan dua perkahwinan terdahulu.

    Sebelum Salyo, Sasha pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang jejaka Inggeris, Jason Skinner atau Johan Abdullah Skinner pada 21 Jun 2003. Perkahwinan itu berlangsung di Masjid Regent’s Park, London.

    Enggan hatinya terluka lagi, Sasha mengakui sudah tawar hati untuk berdepan dengan komitmen perkahwinan buat kali ketiga.

    “Pun begitu, saya tidak akan menolak jodoh andai bertemu dengan lelaki yang ikhlas terima saya seadanya. Yang dapat menyempurnakan hidup saya, itu sudah semestinya.

    “Satu lagi, saya tidak akan membuat keputusan tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga selepas ini. Sebagai wanita matang, saya berharap agar keputusan kali ini adalah keputusan yang tepat,” ujarnya.

    Syawal di Gombak
    Mengenai persiapan Lebaran kata Sasha, dia tidak sabar untuk berkumpul di rumah moyangnya di Taman Kamariah, Gombak, Selangor sehari sebelum 1 Syawal untuk bersama-sama sanak saudara lain bergotong-royong menyediakan juadah.

    Antara menu wajib yang menjadi amalan tradisi adalah rendang daging dan ayam serta kuah kacang mengikut resipi tradisi turun temurun keluarga sebelah moyangnya itu.

    Menariknya, setiap masakan yang sudah siap itu akan ditimbang dan dibahagikan sama rata kepada wakil setiap keluarga.

    “Setiap kali menjelang Syawal, saya menantikan saat kami berkumpul untuk menyediakan juadah Hari Raya. Kami akan duduk ramai-ramai di dapur. Sambil buat kerja, kami bertanya khabar.

    “Saat-saat itu yang paling saya rindui dan tidak sabar untuk bertemu semula dengan mereka nanti,” katanya yang turut teruja untuk berkumpul dengan keluarga adiknya, Zain Saidin.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan