• JOM GOSIP JOM VIRAL DUNIA GLAMOUR

    WAK MUSTAR TIDAK LOKEK


    TIDAK meletakkan sasaran untuk bergelar juara, namun kemenangan Wak Mustar dalam program realiti Kilauan Emas musim kelima (KE5), bagaikan rezeki ‘terpijak’ buat dirinya.


    Masakan tidak jika diselak kembali, Wak Mustar bukanlah peserta asal KE5 sebaliknya ‘kembali masuk’ menerusi pusingan ‘wild card’ hasil daripada undian peminat.

    Tidak mensia-siakan peluang yang ada, pemilik nama sebenar Mustaffa Rasyid Abd Jabar ini terus menunjukkan bakat terpendamnya itu.

    Dengan keletah dan gelagatnya yang bersahaja, penyanyi berusia 47 tahun itu terus mencuri tumpuan sekali gus menjadi peserta kegemaran ramai.

    “Alhamdulillah, saya tak sangka akan menang. Berada di antara tiga tempat teratas sebenarnya sudah pun cukup baik,” katanya ketika ditemui selepas konsert akhir KE5, kelmarin.

    Keputusan konsert akhir KE5, menepati ramalan ramai selepas Wak Mustar muncul juara dengan jumlah undian keseluruhan 71.85 peratus sekali gus mengalahkan pesaing terdekatnya, Elji yang hanya mendapat 48.68 peratus.

    Hasil kemenangan itu, dia membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100,000, sebuah motosikal Royal Enfield, trofi dan sebuah kerusi urut dari Go Shop.

    Lebih membanggakan lagi, Wak Mustar turut memenangi Anugerah Khas Juri dan menerima wang tunai RM10,000 serta trofi.

    Diusik mengenai jumlah wang yang dimenanginya itu, ternyata bapa kepada lima anak ini mempunyai perancangannya tersendiri.

    Memandangkan lima anak saya masih tiada wang simpanan, maka saya akan serahkan separuh daripada wang tersebut kepada mereka sebagai jaminan masa depan.

    Selebihnya, saya akan agihkan kepada keluarga dan mereka yang sangat memerlukan bantuan. Saya tahu mereka juga punya hak ke atas duit itu.

    “Pada masa sama, saya berhasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran,” katanya.

    Sangat menggemari konsep muzik Pop Yeh Yeh, Asli dan Nasyid, Wak Mustar bagaimanapun lebih suka bergerak bebas.

    Malah, dia mengakui kurang selesa untuk berhadapan dengan dunia glamor.

    Saya menyanyi kerana saya sukakannya. Malah sejak kecil, saya dah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian.

    Saya ada terima pelbagai undangan nyanyian dan saya rasa saya lebih suka bergerak begitu.

    “Saya suka bebas, tak suka terikat tapi sekiranya memerlukan saya berbuat demikian, maka saya akan berbincang dan meminta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman,” katanya.

    Tambahnya, dia juga mempunyai perancangan untuk mengadakan kerjasama dengan dua ahli KE5 yang lain iaitu Elji dan Zaman.

    “Elji ada studio rakaman manakala Zaman ada syarikat perfileman, jadi kita secara tak rasmi ada berbincang mengenai perkara itu,” katanya.


    Elji terima keputusan

    Selepas enam minggu bersiaran, program Kilauan Emas musim kelima (KE5) akhirnya melabuhkan tirainya selepas menobatkan Wak Mustar sebagai juara.

    Meskipun kalah di tangan penyanyi amatur, Elji yang sebelum ini merupakan penyanyi rakaman bagaimanapun menyerahkan segalanya kepada ketentuan Ilahi.

    Sebenarnya, saya dah set di kepala sejak saya masuk KE5, apa saja keputusan bergantung pada ketentuan ALLAH SWT.

    Semua ini rezeki dari-Nya. Malah, mereka yang tersingkir itu juga ada rezeki masing-masing.

    “Tiada istilah bersaing di antara kami sebaliknya semua saling bantu-membantu. Cuma, apa yang penting, kami semua berjuang membuat yang terbaik,” katanya.

    Dalam konsert akhir KE5, Elji atau nama sebenarnya Wan Muhammad Logan Wan Abdul Rahman mendapat naib juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM50,000, trofi dan perkakas memasak dari Go Shop.


    Bangga wanita ke final

    Satu-satunya peserta tunggal wanita yang layak ke konsert akhir KE5 ialah Lina atau nama sebenarnya Hazlina Wati Zainuddin.

    Sebagai peserta solo wanita, pastinya ramai mengharapkan agar dia mampu memecahkan tradisi KE yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki.

    Namun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia hanya mampu berpuas hati berada di tangga keempat.

    Mungkin tahun ini, rezeki masih belum berpihak kepada wanita.

    “Tapi, walau macam mana pun, saya tetap berbangga kerana menjadi calon wanita yang sampai ke peringkat akhir. Hidup wanita,” katanya sambil tergelak.

    Lina mendapat tempat keempat setelah mendapat jumlah undian keseluruhan 41.12 peratus sekali gus tewas dengan Aling atau nama sebenarnya Mursalim Muhidin yang mendapat 41.41 peratus.

    Dengan kemenangan itu, Lina membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 dan trofi.


    Beri kelainan

    Dalam pada itu, Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris memberitahu elemen kejutan yang dibuat pada konsert akhir KE5 bertujuan untuk memberi kelainan buat penonton setianya.

    Sewaktu sesi latihan dijalankan, kita merasakan perlunya ada masa tambahan agar kita dapat memberi sesuatu yang lebih kepada penonton.

    Lagipun, dua peserta yang tinggal pada masa tambahan mampu memperlihatkan persembahan yang bermutu dan berkualiti.

    “Tapi setiap peserta ini tak tahu akan kelainan yang akan dibuat sebaliknya mereka dikehendaki lebih bersedia dengan tiga lagu diikuti persediaan mental dan fizikal,” katanya.

    Mengenai perancangan selepas ini, kata Namanzee ia bergantung kepada keadaan semasa dan akan diumumkan, kelak.

    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan